Kehidupan menjanjikan segalanya. Pahit, manis, suka dan duka. Satu perjalanan anugerah dari Maha Pencipta yang menjanjikan kematian dalam kembara kehidupan. Setiap yang hidup pasti akan mati . Bak pepatah , patah tumbuh hilang berganti. Seperti kain putih yang kosong, terpulang pada insan itu sendiri memilih corak dan mewarnainya mengikut pilihan sendiri.
Tiada siapa yang harus dipersalahkan seandainya sesuatu yang tidak diingini terjadi di dalam perjalanan hidup. Silap langkah , salah tingkah laku dan sebagainya pasti akan berlaku. Sama seperti melukis. Jika sudah dicorak dan diwarnakan di atas kertas, mustahil boleh dipadamkan begitu sahaja. Hanya yang boleh, diperbaiki sahaja.
Kadang-kadang bila aku duduk keseorangan, teringat kembali peristiwa yang banyak mengajar aku dalam hidup ini. Bukan hendak diratapi dan ditangisi, tetapi sekadar untuk mencari pengajaran dari setiap kejadian itu.
Pendapat ku , setiap kita memerlukan kejadian masa lampau untuk mencorak masa depan. Jadikan ianya sebagai iktibar.
Terpulanglah pada kita untuk menilai mana yang boleh dijadikan contoh dan mana boleh dijadikan sebagai pengajaran agar kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Seseorang itu harus cukup rendah hati untuk mengakui kesilapannya ,cukup bijak untuk mengambil manfaat daripada kegagalannya dan cukup berani untuk membetulkan kesilapannya.
Kesilapan selalunya terjadi atas sebab perasaan yang tidak terkawal. Benarlah... perasaaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yang kadangkala boleh menjahanamkan diri sendiri.
Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah
