Gema takbir di malam raya
Seperti tahun-tahun yang lalu, setiap kali bergema takbir di corong radio, berderai airmata tanpa ku sedari. Mengenang kesilapan masa lalu, terasa keinsafan dan merindui mereka yang tersayang yang telah pergi untuk selama-lamanya.
Sayu rasa hati. Rindu tak terhingga. Kalaulah , nenek masih bersama kita… Tentu lain rasanya menyambut lebaran. Itulah bagai kata pepatah, bila seseorang itu masih bersama kita, tidak kita hargai. Hanya setelah mereka tiada, barulah rasa kekesalan dan kerinduan yang teramat sangat.
Tahun ini sedikit kelainan. Menjelang malam raya, rumahku sudah tersedia rapi. Kuih-muih telah siap terhidang di atas meja. Tapi kuih-muih ini semua dibeli dan ada dari pemberian keluarga. Oleh kerana kesibukan jadual dan Alhamdulillah, ramai pula saudara dan rakan2 yang tempah kek lapis , mak dan aku setuju untuk tidak membuat sebarang kuih-muih. Hehe.
Pendek kata, aku sudah sedia menyambut tetamu pada malam raya. Cuma satu sahaja… dapur masih berselerak. Biasalah, penuh dengan perkakas dan kek-kek yang baru dan belum dibakar. Dan seperti tahun-tahun yang lalu, aku lah yang akan bersengkang mata menyambung kerja melapis kek hingga larut malam.
Segalanya selesai tepat pada jam 1230 pagi. Walaupun letih , tapi hasilnya memuaskan. Aku dapat tidur dengan hati yang tenang. Siap untuk menyambut ketibaan Syawal. Hari kemenangan untuk seluruh umat Islam sedunia. Tidak sabar rasanya untuk berkumpul dan bermesra dengan ahli keluarga , mengeratkan silatturahim antara kita, bermaaf-maafan atas segala keterlanjuran kata dan salah tingkah laku. Banyak rasanya, kesalahan aku.
